Monday 1 June 2009

TANAH PERKUBURAN YANG BERSEJARAH DI KAWASAN KG TUNGKU




TANAH PERKUBURAN ORANG KAYA AMAN
(Bukit Luba di Kampong Rimba)


Dimasa zaman Orang Kaya Aman ini terjadi pemberontakan untuk merampas kuasa Sultan Bungsu. Saudara Sultan Bungsu bersama penglimanya Pengiran Kaut yang terbilang dengan kebalnya berjaya merampas kuasa dari Sultan Bungsu. Oleh kerana itu Sultan Bungsu lari bersembunyi ke saudaranya Orang Kaya Aman. Baginda ditapok (disembunyikan) oleh Orang Kaya Aman di Pulau Raja.

Untuk menumpaskan Sultan yang merampas kuasa dari Sultan Bungsu itu, Orang Kaya Aman membuat Badil Sinargi. Ia diperbuat daripada tembaga yang ganjil, kelihatannya seperti periuk yang tidak bertudung dan lain-lain. Bahan-bahan tembaganya dikutip dari seluruh negeri. Oleh itu ia dinamakan "Badil Sinargi" (meriam).

Orang Kaya Aman membedil istana raja yang merampas kuasa itu dengan Badil Sinargi. Istana itu musnah dan raja yang merampas kuasa itu terpaksa menyerah diri dan mati dibunuh oleh Orang Kaya Aman dengan menyungkit jari manisnya dengan menggunakan pisau. Penglima Pengiran Kaut yang juga berpangkat Wazir lari ke Subok. Pengikut-pengikut raja itu habis dibunuh oleh Orang Kaya Aman. Dengan dikayuhkan oleh 40 orang pengkayuh, Orang kaya Aman menabak Pengiran Kaut. Beliau hanya luka sedikit sebesar mata ayam. Dipercayai lembing Orang Kaya Aman ini mempunyai kesaktian yang luar biasa.

Orang Kaya Aman mengembalikan pemerintahan kepada Sultan Bungsu. Setelah Orang Kaya Aman lanjut usia, beliau mati dibunuh oleh orang yang pernah dibicarakannya dengan menggunakan pemarang (parang) Orang Kaya Aman sendiri. Beliau dikuburkan di Bukit Luba di Kampong Rimba. Dulunya kubur beliau terpaksa di rahsiakan kerana hendak di pindahkan ke Makam di Raja. Pancir-pancir Orang Kaya Aman di gelar Orang Kaya.



TANAH PERKUBURAN ORANG KAYA HARIMAU PADANG HJ MOMIN

(Bukit Selamat di Kampong Rimba)


Beliau menggantikan Orang Kaya Haji Dullah. Orang Kaya Harimau Padang meninggal pada tahun 1960an dan dikuburkan di Bukit Selamat Kampong Rimba. Antara jasa beliau ialah menghantar keperluan makanan kerabat di Raja pada musim perang Jepun


ORANG KAYA HJ DULLAH

(terletak di pulau sengkurong kg tungku)


Asal namanya ialah Tujuh bin Ladi. Beliau di gelar oleh Sultan Hashim dengan gelaran Orang Kaya Haji Dullah. Orang Kaya Hj Dullah adalah antara Menteri Empat. Beliau hidup dalam akhir kurun ke-19. Kawasan pentadbiran beliau ketika itu seluruh Brunei Muara kecuali Kampong Ayer. Beliau meninggal pada tahun 1930an. Beliau dikuburkan di Pulau Sengkurong Kampong Tungku. Antara sejarah yang terkenal mengenai beliau ialah:
1. Mempunyai ilmu yang luar biasa kehebatannya.
2. Boleh bersembunyi di sebalik sehelai daun.
3. Kebal.
4. Peluru senapang musuh boleh menjadi air.
5. Tidak nampak di gambar.
Beliau merupakan pejuang yang menentang kehadiran British di Gadong. Beliau enggan menerima idea British yang hendak membuka Estate getah di Gadong. Beliau tidak mahu Tanah di ekar-ekar (diberi Geran). Setiap rancangan British di Gadong digagalkan oleh Orang Kaya Haji Dullah dengan berbagai cara. Umpamanya menakut-nakutkan orang-orang perantis. Membuang batu tanah dan berbagai-bagai penentangan beliau lakukan.
Orang Kaya Hj Dullah mempunyai seorang Penglima bernama Penglima Berudin. Kerana penentangan beliau dengan kuncu-kuncunya pihak British memerintahkan supaya Beliau ditangkap. Tetapi Orang Kaya bukan sembarangan orang. Rumah beliau pernah dikepong beberapa kali oleh pihak British tetapi tidak berjaya menangkapnya. Oleh kerana ketenteraman rumah beliau selalu diganggu lalu beliau melarikan diri ke Batu Sahabat di Kampong Tungku. Orang kaya bersembunyi disana kira-kira 3 bulan. Orang yang menghantar makanan setiap hari ialah Merali bin Jumahat iaitu anak kemenakan Orang Kaya Hj Dullah. Setiap kali selepas menghantar makanan, setelah beberapa langkah ia berpusing kebelakang Orang Kaya Hj Dullah sudah tidak nampak dilihat.
Pihak British berasa sangat marah kerana usaha menangkap Orang Kaya Hj Dullah tidak pernah berjaya. Mereka sudah tidak boleh bersabar lagi dan akhirnya seluruh Kampong Katok dan Tungku hendak dibakar sekiranya Orang Kaya Hj Dullah tidak menyerah diri. Kerana sayangkan kampong dan anak-anak buahnya beliau pun menyerah diri.
Oleh kerana pihak British tahu Orang Kaya tidak mati dibunuh, mereka berniat hendak membuang beliau ke Negeri Colombo (Sri Lanka). Setibanya kapal di Labuan, kapal mereka pun rosak sehingga beberapa hari lamanya. Setelah Orang Kaya Hj Dullah diturunkan baru kapal tersebut boleh belayar. Orang Kaya Hj.Dullah bermastautin di Labuan sehingga habis Bonnya. Setelah tua dan uzur, beliau di bawa oleh anak buahnya balik ke Brunei. Beliau meningal di Kampong Katok Tungku.

SEJARAH SILAM

Ketua Kampong Tungku, Awang Hj.Tahamit Hj.Nudin (duduk ditengah) bersamaAhli-ahli jawatan kuasa kampong Tungku sekitar tahun 80an.

Dulunya anak-anak Kampong Tungku ramai yang mengikuti seni mempertahankan diri

Awang Misir (tengah) sedang sibuk membuat lemang.Hasilnya.....memang sedap!!!

LAWATAN

LAWATAN PENGARAH-PENGARAH REPUBLIK INDONESIA

LAWATAN MENTERI LUAR LAOS

TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH

BUKIT SALAILA
Terletak di Kampong Tungku.Ianya boleh di lihat melalui jalanraya Tungku Link berdekatan Perumahan Kampong Rimba. Ia dikatakan telah menjadi tempat bersalin bagi Raja-raja di suatu ketika dahulu.
BUKIT MAHKOTA

Terletak d Kawasan Kampong Tungku. Sekitar Jalan Tungku Link berdekatan dengan Universiti Brunei Darussalam. Ia dikatakan telah menjadi tempat raja menyimpan mahkota ketika berburu.

BUKIT MAHLIGAI

Terletak dalam Kampong Tungku. Ianya boleh di lihat melalui jalanraya lama (Mc Farm) menuju ke Pantai Tungku. Adapun tempat ini adalah tempat Mahligai Awang Alak Betatar bagi melihat kapal-kapal yg datang dari sebelah laut. Kesan dan bukti akan kewujudannya adalah dengan adanya kesan tempat menunda bedil serta kesan kolam atau telaga d sekitarnya.

Sunday 31 May 2009

UCAPAN KETUA KAMPUNG TUNGKU / PENGERUSI MPK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan berbanyak-banyak terima kasih kepada penduduk Kampung Tungku yang telah menjayakan Laman Web ini. Semoga usaha pengorbanan penduduk kampung akan menjadi bahan ristaan pada generasi yang akan datang dan menjadi renungan kepada orang-orang yang melayari Laman Web ini sama ada pengunjung luar negeri atau pun dalam negeri.

Diatas usaha gigih anak-anak muda jua maka terciptanya media massa terkini. Saya berharap usaha-usaha yang bermanfaat seperti ini, akan berterusan dan akan berkembang hingga kemasa-masa akan datang. Saya percaya Laman Web ini adalah Laman Web Kampung yang pertama di Brunei. Saya berbangga mempunyai anak buah yang aktif menjayakan aktiviti-aktiviti kampung dan memaparkan di Laman Web dengan menggunakan IT. Mudah-mudahan diatas pengorbanan semua yang terlibat akan diberkati Allah Ta'ala jua.Amin!

Buat akhir kata saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayyah Wassalam Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh!

Yang Benar,
Hj Tahamit Bin Hj Nudin
(Ketua Kampong Tungku)
20hb.November 2000